Jumaat, 18 November 2016

MOVE ON...

Assalamualaikum, bloggers...

Hari ni genap sebulan aku keguguran. upt positif aku bertahan selama 4 minggu je. Mula-mula sedih jugak tapi bila fikir balik redha je la. Lagipun perancangan Allah itu indah.

So, from now aku decide to move on dan taknak fikir lagi pasal ni. kalau ada rezeki, adalah. Aku nak tumpu pada Najihah je. Tahun depan Najihah nak masuk empat tahun. Pelbagai perkara aku perlu get ready untuk masa depan dia.

Jika ada yang baca blog ni dan mendoakan aku, aku ucapkan terima kasih..

Sekian, jumpa lagi di next entry yang aku pun tak tahu bila. Pada yang berminat nak tahu sambungan Novel Kerana Cinta, boleh tinggalkan komen k...(^^,)

Khamis, 6 Oktober 2016

UPT POSITIF???

Assalamualaikum, bloggersss...

Ha, mesti semua terkejut kenapa aku tulis tajuk ni kan? Hehehe...saja buat gempak. dua hari lepas, aku bawak my lovely daughter Nur Amni Najihah check up klinik sebab demam. tak tau kenapa sejak akhir-akhir ni jihah selalu on off demam. orang kata demam nak membesar.. maybe kot.. 

Dalam masa yang sama, aku pun jumpa la doktor sebab sejak akhir-akhir ni aku kerap sangat kencing. macam tak puas kencing. Disebabkan aku ni penghidap kencing manis, aku takut kena jangkitan kuman je. So, aku jumpalah doktor. doktor suh aku check air kencing. Entah kenapa, dalam masa yang sama, aku gatal-gatal nak check UPT. doktor tanya, dah lewat ke? Aku jawab jujur je, saya baru dua minggu habis period. cuma teringin nak check. Kalau ada, alhamdulillah. Kalau takde, aku tak kisah. Then, aku pun pergilah toilet ambik air kencing dan kembalikan botol kencing tu ke makmal.

Resultnya? Positif??? Dengan hati tertanya-tanya, aku bawak lah result ke doktor. doktor pun terkejut. Terus she told me for stop take all ubat yang aku makan. ubat kencing manis & darah tinggi of course. Doktor suruh bagi result tu kat nurse untuk bukak buku dan ambil darah. Aku pun kembali ke Klinik Desa berdekatan. Jawapan dari nurse seperti yang aku jangka. "Masih awal lagi ni dik. lepas dua minggu, kalau still positif, datang balik ye, kita buat buku." So, aku pun balik.

Sempat la aku singgah farmasi beli test pack UPT. balik rumah, aku terus check UPT. Dan result cam minggu lepas, still negatif. So, aku ni dikira suspek pregnant. rasa macam dua minggu tu lama sangat. Walaupun, sehingga masa aku tulis post ni, aku tetap rasa my lovely baby bakal adik najihah ada dalam my tummy, aku still berdoa dan berharap cik "P" tak datang lagi lepas ni sehinggalah adik Najihah lahir. 

Ya, aku tahu risiko tinggi bila pregnant dengan obesiti, kencing manis dan darah tinggi cam aku ni. Siapa kita nak menidakkan kuasa Allah swt? Moga, UPT ni akan terus positif sehingga 9 bulan akan datang..Amiinn... Kalau aku dah betul-betul confirm, aku akan update lagi, insyaAllah...

Isnin, 8 Ogos 2016

NOVEL : KERANA CINTA (BAB 3 & 4)



BAB 3

Hanim merenung sebuah potret di hadapannya. Jam sudah menunjukkan pukul 5 pagi. Laila telah lama lena diulit mimpi. Akhirnya, potret wajah yang sentiasa bermain di mindanya itu siap juga setelah mengambil masa selama sebulan. Sebenarnya, sudah lama Hanim ingin melukis potret wajah itu namun sentiasa terbengkalai dengan jadual kerja kursus dan pelajaran yang sering menghimpit hari-harinya. Hanim mengukir senyum lalu mengucup potret tersebut dengan satu perasaan sayang yang tidak pernah luput dari hatinya untuk wajah itu. Potret tersebut diambil dan dimasukkan ke dalam sebuah bingkai besar mengikut saiz kertas lukisan itu. Bingkai yang diperbuat daripada kaca kristal itu dibeli ketika lawatan kolejnya ke pameran lukisan yang diadakan di Singapura hujung tahun lalu. Dengan bantuan pinjaman yang diperolehi, Hanim berjaya memperolehi 3 bingkai besar yang dibuat ala-ala kristal. Hanim menyandarkan lukisan tadi ke dinding di atas meja belajarnya. Gambar itu ditenung dan tanpa disedari, dia terlena.
Tepat jam 6.30 pagi, jam loceng di sisi Laila berdering. Laila bangun dan terus menuju ke bilik air untuk membersihkan diri. Selepas mandi, dia keluar dari bilik air dengan wuduk yang sempurna. Laila menggelengkan kepala apabila melihat Hanim tertidur dengan kepala terlentok di atas meja belajarnya.
“Hanim, bangun solat Subuh!” kejut Laila sambil menepuk bahu Hanim.
Hanya dengan sekali tepuk, Hanim terus berdiri dan mencapai tuala mandi lalu keluar dari bilik yang dikongsi bersama Laila itu. Sebaik sahaja Laila selesai bersolat dan berzikir, Hanim masuk dan segera mencapai telekungnya yang tersangkut di ampaian pendek di kaki katil mereka. Laila kembali baring di atas katil ketika Hanim mengangkat takbir pertama. Tiba-tiba, matanya tertancap pada sebuah potret yang berbingkai kristal di atas meja belajar Hanim. Laila bangun dan merenung potret wajah seorang lelaki itu. Di bawah potret itu tertulis nama Mahadi.
“Baik-baik pegang bingkai tu. Nanti jatuh pulak!” saran Hanim tiba-tiba. Laila tersentak lalu memandang Hanim yang sedang melipat telekung.
“Gambar siapa ni? Boleh tahan jugak muka dia!”
“Ex-boyfriend aku,” jawab Hanim perlahan. Dia merapati Laila lalu duduk di sisi Laila di birai katil. Laila merenung Hanim untuk mendapat penjelasan lanjut.
“Lepas habis SPM, kitorang bertemu kat satu majlis kahwin kawan aku. Sehingga sekarang, cinta aku pada dia tak pernah luput. Tapi apa nak buat, hubungan kitorang terhenti di tengah jalan hanya kerana mengejar cita-cita masing-masing. Kitorang takut kerana cinta, cita-cita kami terbengkalai dan musnah…” jelas Hanim perlahan.
“So, kau masih cintakan dia?”
“Sangat cinta. Malah aku sentiasa berharap yang satu hari nanti, kitorang dipertemukan semula. Bercinta, bertunang, berkahwin dan ada anak.” Laila mengerut dahi melihat sikap Hanim yang kelihatan lembut dan lebih berharap. Semenjak perkenalannya dengan Hanim, tidak pernah Hanim tunjukkan sikap lembut dan romantiknya itu.
“Macam tak percaya je yang aku ni sedang bercakap dengan Nur Farah Hanim! Romantik jugak kau ni kan?” usik Laila dengan senyum nakal. Hanim hanya tersengih sambil merenung potret di hadapannya itu.
“Eh, lupa aku nak cakap. Husyairi kirim salam. Dia pesan, kalau kau ada masalah jangan segan-segan telefon dia. Dia ada bagi kau kad nama dia kan?” Hanim mengerut dahi.
“Dia cakap macam tu kat kau? Apa pasal dia tu baik sangat? Kalau kau nak tahu, semalam dia pecut motor macam nak terbang aku rasa. Alasan dia taknak bagi aku tidur. Lepas tu, kaki aku pulak tak boleh nak jalan. Menggigil je, nak jalan pun lemah. Dia lah hantar aku sampai ke atas,” cerita Hanim selamba. Laila tersengih nakal.
“Entah-entah dia minat kat kau tak? Iqbal kata dia tu memang baik hati. Masa sekolah dulu, kalau kawan-kawan dia ada masalah duit ke atau apa-apa masalah, dia sedaya upaya membantu. So, tak hairan lah dia baik macam tu. Whatever pun, kau simpan je lah kad nama dia tu. Manalah tahu, kalau-kalau masa cuti kau boring duduk rumah seorang, boleh ajak dia keluar.”
“Kad tu aku dah bagi pada Irni…” ujar Hanim selamba.
“What? Kenapa kau bagi kat dia? Husyairi bagi kat kau sebab dia nak jadi kawan rapat kau. Sampai hati kau bagi kad tu pada Irni?” marah Laila. Hanim meletakkan kembali potret di tangannya di atas meja. Kemudian, dia kembali baring di atas katil.
“Laila, Irni minat kat Hus. So, manalah tahu kalau-kalau diorang tu ada jodoh. Lagipun, dia bagi kad tu betul-betul depan Ika dan Irni. Takkan aku nak kedekut pulak bila Irni minta kad tu?” balas Hanim selamba. Laila menutup lampu bilik mereka lalu baring semula di sebelah Hanim.
“Kalau Husyairi tahu, mesti dia tak suka. Kau bukan tak kenal Irni tu macamana? Kalau boleh, Iqbal tu pun pernah nak digodanya. Sebab tu aku tak suka kau bagi kad tu pada dia. Husyairi tu dah ada Maria. Kalau apa-apa jadi kat hubungan mereka, siapa nak bertanggungjawab?” soal Laila masih tidak berpuas hati.
“Kalau dia betul-betul setia pada Maria, walau seribu bidadari datang pada dia pun, dia tetap setia.” Laila mendengus apabila mendengar jawapan selamba itu. Hanim tidak ambil pusing. Matanya kembali mengantuk.





BAB 4

Hanim masuk ke kelasnya yang kebanyakkannya dihuni oleh kaum lelaki. Hanya terdapat lima orang sahaja pelajar perempuan. Hanim duduk di sebelah Iman, seorang pelajar yang lebih tua dua tahun darinya. Iman sedang khusyuk melukis kartun animasi yang diminatinya iaitu Bleach.
“Lambat kau datang hari ni?” soal Iman tenang tanpa memandang Hanim.
“Takdelah lambat sangat. Lecturer pun tak masuk lagi. Wow, Bleach!” Hanim terpegun melihat lukisan animasi itu benar-benar nampak seperti kartun yang sebenar. Iman hanya tersengih.
“Kau dah siap sample yang Encik Emir nak tu?” tanya Iman pula. Wajah tenang Hanim di sisinya.
“Dah siap dah. Kau punya macamana?”
“Dah hantar dah pun. Aku malas lah nak pass up dalam kelas. Nanti ada je yang dia komen nak buat malu kita. Buat orang tension je nanti!” jawab Iman selamba.
“Yeke? Lain kali, kalau nak hantar tu tunggulah aku. Kita hantar sama. Aku pun tak suka kena komen dalam kelas. Malu la…” rungut Hanim.
“Aku ingat kau tak siap lagi. Nantilah, lain kali aku tunggu kau. Petang ni free tak? Aku ada dua tiket pergi pameran lukisan kat HBR. So, aku tak tahu nak ajak siapa. Oleh kerana hanya kau sorang je yang masih single dalam kelas ni, aku plan nak ajak kau. Nak ikut tak?” tanya Iman lagi. Iman bukanlah kawan rapat Hanim tapi sekiranya ada majlis sebegitu, Hanimlah orang pertama yang akan dipelawa. Iman tahu latarbelakang hidup Hanim dan dia berasa begitu simpati dengan kehidupan gadis gempal itu namun simpatinya tidak pernah ditonjolkan memandangkan Iman seorang yang lebih suka berdiam diri dari menyatakan apa yang dirasainya.
“Hish, mestilah nak! Kau kan tahu, aku suka pergi tempat-tempat macam tu. Pukul berapa?”
“Pukul 2. Kau tunggu aku kat depan bangunan admin nanti.” Hanim mengangguk faham.

Tepat pukul 2 petang, Hanim sudah tiba di hadapan bangunan pentadbiran seperti yang dijanjikan. Tidak sampai lima minit, sebuah Proton Gen 2 berhenti di hadapannya. Hanim lalu masuk ke dalam kereta itu apabila menyedari pemandunya adalah Iman.
“Bila kau tukar kereta?” soal Hanim apabila kereta berwarna hitam itu meluncur keluar dari kolejnya.
“Ni kereta kakak aku. Kereta aku masuk bengkel, accident minggu lepas,” jelas Iman tenang.
“Accident? Kau takde apa-apa ke? Macamana boleh accident?” soal Hanim bertalu-talu.
“Aku nak cepat masa tu. Tak perasan ada van kat sebelah. So, masa tu lah aku terlanggar van tu…” cerita Iman selamba. Matanya tidak beralih dari pemanduannya.
“Tu lah, kau. Aku pun dah pernah advise kau jangan bawa kereta laju-laju. Degil betul! Habis tu, kereta kau teruklah? Kau tak cedera?” soal Hanim lagi.
“Hish, cedera! Hilang ingatan aku tiga hari!” balas Iman berseloroh lalu ketawa lucu dengan kata-katanya sendiri. Hanim menarik muka masam.
“Kau ni kalau aku serius, suka reka cerita yang tak masuk akal langsung! Aku serius ni…” tegas Hanim geram. Iman mengawal tawanya yang hampir reda.
“Aku gurau je. Aku okey cuma perut ni je senak sikit sebab masa tu aku mengelak badan ke tepi. Perut kena gear. Kereta aku tak payah tanyalah. Entah-entah seribu lebih kena. Nasib baik ada insuran.”
“So, dah pergi check doktor? Bahayalah kalau sakit-sakit sebab accident ni.”
“Takde maknanya. Aku dah elok pun sekarang. Masa mula-mula tu memang la sakit. Tapi sekarang dah okey dah. Aku tahu kau risau. Sayang jugak kau kat aku kan?” usik Iman lagi. Hanim mengangkat kening.
“Aku sayang semua kawan-kawan aku. Bukan kau sorang je…” balas Hanim selamba. Iman ketawa kecil.
Lebih kurang lima belas minit kemudian, mereka tiba di tempat parking kereta Hotel Beach Resort. Hanim keluar dari kereta berhawadingin itu. Angin bertiup agak kencang. Hanim berasa senang apabila angin menampar-nampar mukanya. Hanim tersenyum apabila fikirannya tiba-tiba teringatkan Mahadi. Alangkah indahnya jika Mahadi berada di situ. Tentu dia sedang berasa bahagia di dalam dakapan pemuda berkulit sawo matang itu.
“Hai, sayang. Apahal senyum sorang-sorang ni? Kau teringatkan siapa?” soal Iman yang sudah berdiri di sisi Hanim.
“Teringatkan pakwe aku…” jawab Hanim selamba lalu beredar. Iman mengejarnya dengan penuh tanda tanya. Hanim tidak pernah menyebut tentang kekasih.
“Pakwe? Kau dah ada pakwe?” soal Iman lagi ingin tahu.
“Ha’ah, kenapa? Tak percaya?” soal Hanim kembali. Iman terus senyap. Mereka terus masuk ke lobi hotel ternama itu.
Setibanya di tempat pameran yang disebut, Hanim terus menuju ke pameran yang dipenuhi pelbagai bentuk corak batik. Iman hanya mengekorinya. Iman dapat merasakan suatu kelainan yang dirasa apabila Hanim menyebut tentang kekasih gadis itu. Namun rasa itu dipendam agar tidak jelas kelihatan.
“Cantiknya…” puji Hanim ketika melihat satu corak yang agak berseni. Corak itu ditenung penuh minat.
“Kau minat ke? Kalau minat, belilah!” saran Iman.
“Boleh beli ke? Tapi mesti mahal. Corak dia penuh dengan pelbagai perasaan. Cuba kau tengok betul-betul. Kalau kau tenung lama-lama, mesti kau dapat rasa satu perasaan sedih. Tapi kalau kau tenung sekali imbas, kau mesti nampak kegembiraan dalam corak ni!” ujar Hanim cuba menyelami mesej yang ingin disampaikan oleh pelukis berseni itu. Iman tersenyum melihat keyakinan Hanim bersuara.
“Cik minat ke dengan lukisan ni? Pelukisnya ada di sana!” tegur satu suara garau. Hanim tersenyum lalu menoleh ke arah sebuah susuk tubuh yang ditunjukkan oleh pemuda berkemeja putih tadi.
“Cantiknya dia…” puji Hanim. Iman menggelengkan kepala.
“Kau ni dari tadi asyik memuji. Aku tengok dia biasa je,” kata Iman selamba sambil memandang sekilas susuk tubuh yang mengenakan kebaya hijau pucuk pisang itu. tiba-tiba senyuman Hanim mati apabila ada tubuh lain merangkul tubuh kurus itu. wajah yang dimiliki oleh pemuda itu amat dikenalinya. Tanpa mengendahkan keadaan sekeliling, airmatanya tumpah.
“Hanim, kenapa ni? Kenapa menangis?” soal Iman kaget. Hanim menggeleng sambil mengesat airmatanya.
“Encik, siapa lelaki di sebelah pelukis tu?” tanya Hanim pada pemuda berkemeja putih tadi tanpa menghiraukan soalan Iman.
“Oh, itu Encik Mahadi. Tunang Cik Arina. Kenapa cik?” soal pemuda itu kembali. Hanim hanya menggeleng dan tersenyum pahit. Hanim terus menuju ke lukisan yang agak hampir dengan pasangan itu. Iman mengerut dahi sambil mengikut sahaja rentak Hanim. Hakikatnya, Iman tidak berapa minat dengan pameran lukisan sebegitu. Namun, demi menghargai pemberian kakaknya yang telah menyediakan tiket untuknya, dia hanya menurut.
Mahadi tersentak apabila matanya bertembung dengan mata Hanim. Hatinya dilanda rasa serba salah. Hanim menelan liur dengan hati yang hancur luluh. Dia tunduk apabila airmatanya bergenang lagi.
“Err… Iman, aku nak pergi toilet lah. Kat mana eh?” tanya Hanim perlahan.
“Kau jalan terus, belok kanan. Nak aku teman?”
“Takpe, aku pergi sendiri.” Hanim lantas meninggalkan Iman yang penuh dengan tanda tanya. Ketika itu juga, Iman nampak Mahadi turut menuju ke arah tandas. Mahadi segera memintas jalan Hanim apabila gadis itu sudah membelok ke arah menuju ke tandas.
“Hai, lama tak jumpa?” tegur Mahadi lembut. Hanim mengesat airmatanya dan pura-pura tersenyum.
“Hai, ha’ah dah lama tak jumpa. Dah lebih empat tahun rasanya. Abang pun dah bertunang kan?” balas Hanim dengan senyum tipis. Bibirnya bergetar menahan sebak di dada.
“Hanim, maafkan abang sebab mungkir janji. Handphone abang hilang dan nombor telefon Hanim turut hilang. Pasal pertunangan tu, keluarga abang yang aturkan. Maafkan abang ye…” ujar Mahadi dengan rasa serba salah. Tangan Hanim ingin dipegang namun Hanim mengelak.
“Takde sebab untuk abang pegang Hanim yang gemuk ni lagi. Maafkan Hanim sebab… sebab terlalu yakin yang hubungan kita akan kembali seperti dulu.” Hanim mengetap bibir apabila melafazkan kata-kata itu.
“Hanim, jangan sebut pasal badan. Abang tak pernah berniat macam tu. Mungkin takde jodoh antara kita. Abang tak pernah lupakan Hanim. Abang pernah cuba cari Hanim, tapi tak pernah berjaya. Maafkan abang. Kita tetap masih boleh berkawan kan?” kata Mahadi lembut. Meskipun cintanya sudah beralih pada Arina, namun sayangnya pada Hanim masih kukuh dan tidak pernah pudar. Hanim mengeluh.
“Dahlah, bang. Tak perlu minta maaf. Dah takdir. Hanim terima abang bukan sebagai kawan tapi mungkin sebagai abang Hanim. Itupun kalau abang sudi jadi abang Hanim yang tidak tahu asal usul ni…”
“Hanim, jangan cakap macam tu sayang. Abang masih sayangkan Hanim. Abang tak kisah siapa diri Hanim. Dan abang yakin, seandainya jodoh kita masih ada, kita pasti bersatu semula. Percayalah sayang, abang lakukan semua ni hanya kerana papa abang. Papa abang mengaturkan pertunangan abang dengan Arina tanpa pengetahuan abang. Walaupun sekarang cinta abang dah beralih arah, sayang abang pada Hanim tak pernah luntur. Percayalah.” Mahadi sedaya upaya untuk meyakinkan Hanim tentang cintanya. Hanim tunduk menahan sebak dan terharu. Hatinya semakin remuk apabila mendengar tiada lagi rasa cinta di hati Mahadi untuknya.
“Abang, Hanim pergi dulu. Hanim doakan abang bahagia dengan bakal isteri abang. Jagalah hati dia. Dia terlalu baik dan cantik untuk dilukai. Assalamualaikum…” ujar Hanim lalu masuk ke dalam tandas yang tidak jauh dari situ. Mahadi semakin berasa bersalah dengan kata-kata terakhir itu. Maafkan abang, Hanim. Abang tahu Hanim terluka dengan abang. Percayalah, abang masih sayangkan Hanim.
Di dalam tandas, Hanim menangis semahu-mahunya. Hatinya terasa seperti dihiris-hiris. Harapannya untuk hidup bersama Mahadi runtuh begitu sahaja. Ketika itu, Hanim tersedar dari kelekaannya selama ini. Hanim berasa sedih dengan tubuh badannya yang tidak pernah berubah itu walaupun setelah mencuba banyak cara untuk memperbaikinya. Hanim membasuh muka apabila perasaannya mulai tenang. Dia tidak mahu Iman mengetahui kelukaan yang masih berdarah di hatinya sekarang. Setelah yakin dengan keceriaannya, Hanim keluar dari tandas dan kelihatan Iman sedang menunggu di hadapan tandas perempuan itu.
“Lama tunggu?” tanya Hanim dengan pura-pura senyum. Iman merenung Hanim dengan tenungan tajam.
“Hei, kenapa pandang aku macam nak telan ni? Kau tak nak tengok pameran ke?” soal Hanim lagi. Hatinya kuat menyatakan Iman telah melihat segala-galanya berdasarkan reaksi pemuda itu.
“Apa yang dah jadi, Hanim? Siapa lelaki tadi?” soal Iman serius. Hanim tersenyum pahit.
“Takde siapa. Dia saudara aku je…” Iman tersenyum sinis.
“Saudara? Sejak bila kau ada saudara?” soal Iman sinis. Hanim terpukul dengan kata-kata itu.
“Ha’ah, lupa pulak yang aku ni anak pungut. Takde saudara. Dia saudara angkat aku…” ujar Hanim perlahan lalu beredar. Iman mengekori Hanim.
“It’s not what I mean, Hanim. Aku tahu ada sesuatu yang kau sorokkan dari aku. Cakaplah…” kata Iman masih serius.
“Takde apa. Err… Iman, sorrylah. Aku rasa nak balik dulu,” ujar Hanim pura-pura tenang. Iman mendengus perlahan.
“Hanim, kau tak boleh balik. Kau tahu tak tiket yang aku beli ni mahal? Aku nak kau tunggu sampai pameran ni tamat!” tegas Iman.
“Tapi, Iman…” Iman tidak mengendahkan Hanim yang ingin memberi alasan. Dia kembali masuk ke dalam bilik pameran tadi. Hanim mengeluh. Rasa bersalah akan menyelubunginya jika terus pulang ke rumah. Akhirnya, Hanim turut kembali masuk ke bilik pameran juga. Dia mencari kelibat Iman. Kelihatan Iman sedang elok berbual dengan pelukis popular Arina. Hanim menelan liur apabila matanya sekali lagi bertembung dengan mata bundar Mahadi. Kelihatan Mahadi turut merenungnya dengan pandangan mata yang tajam. Hanim terkedu apabila Iman tiba-tiba datang ke arahnya dengan senyuman lalu menarik tangannya menuju ke arah Arina. Hanim mengerut dahi apabila Iman masih menggenggam tangannya. Mahadi merenung tajam ke arah genggaman erat itu.
“Cik Arina, kenalkan ini Farah Hanim. Dia amat meminati lukisan Cik Arina yang bertajuk perasaan tu. Hanim ni seorang pelukis potret terbaik dalam kelas kami,” kata Iman dengan senyum bangga.
“Really, kalau macam tu, bolehlah lukiskan potret I dengan tunang I nanti. Boleh kan?” pinta Arina lalu memeluk lengan Mahadi. Hanim dan Mahadi sama-sama tersentak. Hanim mengetap bibir menahan sebak. Dengan mata berkaca nipis, Hanim mengangguk perlahan. Senyum pahit menghias bibirnya. Mahadi mengerut dahi dengan persetujuan itu. Dia tahu Hanim terluka tetapi Mahadi tidak yakin Hanim akan terubat dengan pujukannya. Malah, mungkin akan melukakan lagi gadis itu.

Selasa, 26 Julai 2016

NOVEL : KERANA CINTA (BAB 1 & 2)






BAB 1

“Nim, kau kena tolong aku lagi, Nim…” ujar Iqbal resah. Hanim menjeling rakan sekelasnya itu dengan jelingan yang tajam.
“Aku tak tahu apa lagi yang kau tak puas hati dengan si Laila tu! Aku rasa dia dah cukup baik untuk lelaki macam kau, tapi kau selamba je lukakan hati dia. Dia bagai nak mati sayang kat kau, tapi kau sedap-sedap je tuduh dia bukan-bukan. Mhm…!” dengus Hanim bengang. Terbayang di matanya bagaimana sedihnya Laila, rakan sebiliknya itu apabila dituduh berlaku curang.
“Aku terlampau marah masa tu. Dia langsung tak bagitahu itu abang dia. Kalau kau tengok kemesraan diorang hari tu, kau mesti takkan fikir itu abang dia. Mesra sangat!” kata Iqbal lagi. Hanim yang bertubuh agak besar itu bangun dari kerusi taman rekreasi itu dengan keluh berat.
“Aku tak tahu nak kata apa lagi kat kau ni. Cuba kau ingat balik, semester ni je dah tiga kali kau lukakan dia dan tiga kali jugaklah kau cari aku untuk pujuk dia. Kau ingat aku dah takde kerja lain ke? Takkan kau tak tahu yang Laila tu anak perempuan tunggal? Dia tak cerita ke pasal adik-beradik dia kat kau?” soal Hanim tegas. Muka kacak di hadapannya ditenung tajam.
“Ada, tapi aku tak suspect itu abang sulung dia. Mamat tu macho sangat, tergugat aku!” Iqbal meraut muka resah. Hanim ketawa sinis.
“Kau ni harap muka je handsome, tapi keyakinan kau zero!” kutuk Hanim dengan tawa bersisa. Jam ditangannya dijeling sekilas.
“Iqbal, dah petang ni. Aku nak balik dulu. Dahlah kau suruh aku turun bandar ni. Entah pukul berapa pulaklah aku sampai rumah nanti. Pasal Laila tu bagi aku masa sikit. Bukan senang nak pujuk minah tu. Kau pun kena usaha sendiri dan ini last aku tolong kau. Lepas ni, jangan harap!” ujar Hanim selamba. Beg sandangnya disangkut ke bahu. Iqbal tersenyum gembira.
“Thanks, Hanim! Kau lah sahabat aku dunia akhirat. Aku takkan lupa semua jasa baik kau. Thanks!” ulang Iqbal lagi. Hanim mengangkat kening lalu mereka pun berpecah menuju haluan masing-masing.
Setibanya Hanim di sebuah bangunan sepuluh tingkat, dia terus menaiki lif menuju ke tingkat 7. Keluar sahaja dari lif, Hanim terus menuju ke sebuah apartment yang terletak di hujung tingkat itu. Segugus kunci dalam beg sandangnya dikeluarkan lalu dicucuh ke dalam tombol pintu. Tidak sampai seminit, pintu itu sudah dapat dibuka. Sebaik sahaja Hanim melangkah masuk, matanya tertancap pada sesusuk tubuh yang sedang termenung di beranda yang menghadap terus ke laut Selat Melaka itu. Kepalanya digeleng perlahan. Beg sandangnya diletak di atas sofa lalu merapati tubuh berambut lurus separas bahu itu.
“Assalamualaikum?” tegur Hanim mesra. Bahu rakan sebiliknya, Laila dipeluk erat. Laila mengesat airmata dan menjawab salam.
“Dahlah tu, Ila. Aku risau tengok kau macam ni. Iqbal tak bermaksud nak lukakan hati kau. Ini hanya satu salah sangka je…” ujar Hanim memujuk.
“Dia jumpa kau lagi?” soal Laila dengan mata terus menikmati keindahan alam di hadapannya.
“Ha’ah. Aku sebenarnya dah taknak campur hal korang lagi. Tapi aku pun tak tergamak nak tengok kawan aku macam ni. Dahlah tu, maafkan dia,” sambung Hanim lagi.
“Bukan aku taknak maafkan dia, Nim. Tapi dia tu suka tuduh aku macam tu. Siapa tak sedih kalau kita punya setia dengan orang tu, tapi orang tu tak nampak kesetiaan kita. Semua sedih, Nim…” luah Laila sayu.
“Aku faham. Aku jugak tahu yang kau terlalu sayangkan dia. Dia pun sayangkan kau, Laila. Dia cemburu sebab dia tergugat tengok abang kau macho sangat!”
“Dia cakap macam tu?” soal Laila terkejut. Hanim mengangguk dengan senyuman.
“Merepek je dia tu!” rungut Laila. Hanim ketawa lucu melihat sekuntum senyum terukir di bibir Laila.
“Ha, macam tulah! Kau kalau senyum, nelayan tu pun boleh karam tau!” usik Hanim nakal.
“Macam tu sekali?”
“Yelah, bila kau senyum, laut pun boleh berdebar tau!” usik Hanim lagi.
“Ada-ada je kau ni!” Hanim ketawa.
“Okeylah, malam nanti Iqbal telefon, kau jangan nak jual mahal pulak. Aku nak masuk mandi dulu! Jangan lama-lama sangat kat luar ni, dah nak senja tu!” pesan Hanim lalu masuk ke dalam biliknya yang terletak tidak jauh dari beranda tadi.


BAB 2

Hanim keluar dari bilik setelah selesai solat Isyak. Kelihatan Laila sedang asyik berbual di telefon bimbitnya di beranda. Manakala dua orang rakan serumahnya lagi sedang menonton televisyen bersama-sama. Hanim lantas menyertai dua orang gadis itu iaitu Zulaikha dan Irni.
“Pukul berapa korang balik tadi? Kalau tak salah aku, kelas korang habis awal tadi kan?” tanya Hanim sekadar mengambil tahu.
“Aku teman si Irni ni beli buku kat bandar. Kau tahu jelah, Irni kalau dah dapat ke bandar, mana ingat nak balik?!” jelas Zulaikha selamba. Irni mencebik tanda tidak ambil tahu.
“Eh, korang tak lapar ke? Aku rasa nak makan kat luar lah malam ni,” ujar Hanim tiba-tiba.
“Kitorang dah makan tadi. Tapi tadi aku dengar Ila kata nak keluar makan dengan Iqbal. Kau join lah diorang sekali. Kau kan memang suka teman diorang dating…?” celah Irni pula. Hanim merenung Laila yang sedang menutup pintu beranda.
“Ha’ah, Hanim. Iqbal pun suruh aku ajak kau sekali. Dia nak belanja makan!”
“Belanja? Ha, tu yang aku nak dengar tu!” Hanim pantas bergegas ke bilik bersama Laila.
“Untung si Hanim tu kan, Ika? Dia teman orang dating, tak payah keluar duit pun! Tak macam aku ni, teman kawan dating kena keluar duit sendiri,” keluh Irni dengan nada seperti kecil hati. Zulaikha menjeling tajam.
“Kau tak payahlah perli aku. Kau kena faham, Arman dan Iqbal tu berbeza. Iqbal duduk dengan keluarga. Arman tu pulak hidup macam kita ni yang ada duit lebih sikit, baru dapat rasa makan kat kedai. Kalau tak, menangis potong bawang je la…” balas Zulaikha selamba. Seketika kemudian, Hanim dan Laila keluar dari bilik siap bertudung dan memakai baju lengan panjang.
“Ha, korang nak pesan apa-apa tak?” tanya Laila sebelum mengekori Hanim yang sudah keluar dari apartment itu.
“Oleh kerana pakwe kau bermurah hati malam ni, aku nak pesan beli nasi goreng ayam satu,” pesan Zulaikha selamba.
“Same to me!” celah Irni pantas. Laila mengangguk lalu menutup pintu apartment yang sudah hampir dua tahun dikongsi bersama rakan sekolejnya itu.
Hanim dan Laila turun ke bawah dan menuju ke pondok bas yang terletak tidak jauh dari apartment itu. Lima minit kemudian, Iqbal dan Husyairi kawan rapatnya tiba dengan motor masing-masing.
“La, apasal kau naik motor Iqbal? Ni yang lemah ni!” rungut Hanim. Laila sudah pun membonceng motor kekasihnya. Husyairi tersengih dengan rungutan Laila.
“Hus, kau boleh ke bonceng aku ni?” soal Hanim bimbang. Dia masih ingat pengalaman pahitnya membonceng motor bersama seorang rakannya yang turut dibesarkan di rumah anak yatim sepertinya. Rakannya itu tidak dapat mengimbangi motor yang mereka naiki dan akhirnya merempuh sebatang pokok kelapa.
“Naiklah, saya boleh la…” jawab Husyairi tenang dengan senyuman. Husyairi jarang bertemu dengan Hanim kerana dia belajar di kolej yang berlainan. Perkenalan mereka bermula ketika menemani Iqbal dan Laila berjumpa buat pertama kali kira-kira setahun yang lalu. Tapi Husyairi baru tiga kali menemani pasangan itu sepanjang tempoh tersebut.
“Kau jangan bawak laju-laju. Aku takut!” saran Hanim awal-awal. Husyairi ketawa mendengar kata-kata itu. Hanim berhati-hati membonceng motor Kriss itu.
“Kalau awak takut, pegang bahu saya atau peluk je pinggang saya,” pesan Husyairi sebelum bergerak mengejar Iqbal yang sudah jauh di hadapan. Hanim memegang bahu Husyairi sekuat yang mungkin.
Mereka berhenti di sebuah restoran makanan laut yang dibuka 24 jam. Hanim segera turun sebaik sahaja Husyairi memberhentikan motornya.
“Fuh, menggigil kaki aku! Dahsyat jugak kau ni bawak motor!” komen Hanim sambil mengurut lututnya yang menggeletar. Laila dan Iqbal ketawa. Husyairi hanya tersenyum.
“Awak tak pernah naik motor ke?” tanya Husyairi sambil membukakan helmet di kepala Hanim. Hanim menggeleng.
“Patutlah…” ujar Husyairi tenang. Mereka berempat masuk ke restoran itu dan duduk di sebuah meja empat segi tepat. Laila duduk menghadap Iqbal begitu juga dengan Hanim.
“Ramai jugak budak kolej kita kat sini kan? Tapi tak nampak pun budak kos aku?” soal Hanim sambil memandang sekeliling.
“Kau tu ambil rekaan grafik. Sepatutnya, budak grafik macam kau ni, melukis cari ilham kat rumah. Bukan lepak kat luar malam-malam ni…” ujar Iqbal selamba.
“Ya tak ya jugak. Eh, tapi tak semua budak grafik macam tu. Contohnya, aku. Aku kena keluar cari ilham. Barulah lukisan aku tu nampak semulajadi!” kata Hanim penuh semangat.
“Kau kalau sebut pasal lukisan, hidup je!” perli Laila selamba. Husyairi tersengih melihat kesungguhan gadis gempal di hadapannya.
“Awak berdua nak tahu, kat dalam bilik tidur kami, penuh dengan lukisan je! Lukisan burung lah, lautlah, air terjun lah. Gambar kita berdua pun dia lukis tau!” cerita Laila sambil menjeling Hanim sekilas.
“Really?” soal Iqbal kagum.
“Bukan tu aje. Aku sekarang tengah siapkan gambar anak yang bakal korang lahirkan nanti. Nanti dah siap, aku bagi tapi korang kena janji dengan aku, jangan gaduh-gaduh lagi, tau?!” pesan Hanim tegas. Iqbal dan Laila tersengih. Husyairi hanya diam tersenyum. Ketika itu juga seorang pelayan datang mengambil pesanan. Malam itu, mereka memesan makanan ala-ala BBQ seperti ikan bakar, sotong dan udang bakar dan banyak lagi.
Ketika sedang leka makan, Hanim terpandang ke satu wajah yang amat diminatinya. Laila dan Iqbal sedang leka berbual. Hanya Husyairi yang perasan perubahan Hanim yang sedang merenung sesuatu dengan senyum meleret seolah-olah sedang berkhayal. Husyairi memandang ke arah pandangan Hanim. Kelihatan sepasang kekasih yang sama cantik dan sama padan.
“Handsomenya dia…” keluh Hanim masih tidak lepas-lepas dari merenung raut wajah itu. Laila dan Iqbal berhenti berbual lalu memerhatikan Hanim begitu juga dengan Husyairi.
“Hanim, kau ni tak habis-habis minat kat si Shah tu! Tahu dek Nadia tu nanti, azab kau!” tegur Laila tegas. Dia tahu Hanim meminati pemuda kacukan itu sejak dari semester pertama lagi.
“Ala, aku pandang je. Tak luak pun!” ujar Hanim selamba lalu menyambung makannya. Laila merenung Hanim. Dia tahu Hanim meminati Shahril dalam diam. Kerana minat itu juga, Hanim sentiasa mengikuti perkembangan jejaka idaman itu.
“Hanim, aku rasa, baik kau terus terang je dengan Shah tu yang kau minat kat dia. Kalau kau malu, aku boleh tolong. Lagipun, dia satu makmal dengan aku!” ujar Iqbal pula.
“Hish, jangan kau! Aku taknak dia tahu aku minat kat dia. Nanti dia fikir aku ni tak tahu malu pulak!” bantah Hanim pantas. Iqbal dan Laila mengangkat bahu.
“Kenapa awak suka dengan dia?” tanya Husyairi tiba-tiba setelah sekian lama membisu.
“Sebab dia handsome, bijak dan paling best, ramai yang cakap dia baik. Suka tolong kawan-kawan yang dalam kesusahan…” jawab Hanim dengan senyuman.
“Jangan terlalu dengar kata orang. Selalunya, khabar angin tu hanya sekadar indah khabar dari rupa. Kat kolej saya ramai lelaki macam tu. Jangan terpedaya dahlah,” ujar Husyairi lagi. Dia lebih gemar menggunakan gelaran saya dan awak walaupun Hanim hanya ber ‘aku kau’.
“Tapi, aku tak rasa semua lelaki macam Shah tu, macam tu. Shah tu nampak je macam playboy. Tapi aku yakin, dia sebenarnya baik,” kata Hanim penuh yakin. Husyairi hanya tersengih.
“Hus, awak jangan kutuk Shah depan Hanim ni. Awak cakaplah Shah tu macam pisau cukur pun, dia tetap anggap Shah tu macam dewa!” celah Laila. Husyairi tersengih.
“Takde la sampai tahap dewa. Iman kat dada aku ni mantap lagi, Laila…” balas Hanim selamba.
“Hus, macamana hubungan kau dengan Maria?” tanya Iqbal sekadar mengalih topik perbualan.
“Kami okey. Buat masa ni takde masalah,” jawab Husyairi endah tidak endah. Dia seperti tidak berminat untuk berbicara tentang kekasih yang sudah bertahun disayanginya itu. Hanim merenung Husyairi sebentar dan kemudian tersenyum sendiri.
Mamat ni sekali aku tengok handsome jugak! Dahlah Hus. Tengok muka pun aku tahu kau tu jawab tak ikhlas! Eleh…
“Apa yang awak senyum?” soal Husyairi perlahan. Laila dan Iqbal pergi membayar makanan yang dimakan.
“Salah ke saya senyum? Sekurang-kurangnya, senyuman saya sekarang ni lebih ikhlas dari jawapan awak pada Iqbal tadi…” jawab Hanim selamba tanpa menyedari dia sudah menukar panggilannya. Husyairi tersengih.
“Akhirnya awak ber ‘saya awak’ jugak dengan saya kan?” usik Husyairi dengan senyuman. Hanim tersentak.
“Eh, aku cakap saya awak ke tadi?” soal Hanim seperti orang bingung.
“Takkan awak tak sedar apa yang awak cakap? Takpelah. Sedap sikit telinga saya ni dengar. Aku kau tu terlalu kasar pulak bagi saya. Tapi itu tak bermakna saya marah awak bergelar begitu.”
“Aku kadang-kadang, kalau tengah berbual dengan orang macam kau ni, tersasul jugak. Sorry ye…” Hanim tersengih nakal. Husyairi ketawa kecil melihat senyum nakal itu. Iqbal dan Laila menghampiri mereka.
“Lepas ni nak pergi mana? Baru pukul 9. Kitorang takde kelas pagi esok. Kau macamana Hus, Nim?” tanya Iqbal yang sekelas dengan buah hatinya.
“Aku kelas petang esok…” jelas Husyairi. Sekarang, semua mata merenung Hanim yang senyap.
“Aku? Err… aku ada kelas pagi tapi pukul 10. So, aku rasa aku okey…” jawab Hanim selamba.
“Iqbal, awak tak payah tanya Hanim ni. Dia ni, kalau kat rumah tu, pukul 2 pagi pun boleh nampak dia depan kertas kanvas dia!” sampuk Laila dengan nada menyindir.
“Ha, tu yang korang tak tahu! Pagi-pagi macam tu la ilham aku datang. Kalau nak baca buku pun, rasa best je!” ujar Hanim selamba. Mereka berempat beredar menuju ke motor mereka.
“Okey, kalau semua takde masalah, kita pergi jalan-jalan kat tepi pantai. Amacam?” cadang Iqbal. Semua tersengih dan mengangguk. Mereka membonceng motor masing-masing dan menuju ke sebuah pantai yang agak lengang. Iqbal dan Laila membawa haluan mereka manakala Hanim dan Husyairi hanya duduk tidak jauh dari tempat motor mereka diletakkan.
“Hus, dah lama ke kau kenal dengan Iqbal tu?” soal Hanim memulakan perbualan setelah hampir sepuluh minit kesunyian mengelilingi mereka.
“Iqbal? Lama jugak. Sejak dari tingkatan satu. Masa tu, Iqbal dan family dia pindah ke sebelah rumah saya. Sekolah pulak satu kelas, sebab tu kami rapat,” jawab Husyairi tenang. Rambut belah tengahnya disebak ke belakang apabila ditiup angin dari tepi. Matanya merenung Hanim yang duduk di hadapannya sementara Hanim duduk menghadap laut. Hanya sesekali matanya menjeling pemuda yang sentiasa tenang itu.
“Oh, macam tu. So, kau duduk dengan siapa sekarang? Er… maksud aku, tinggal dengan family atau menyewa?” tanya Hanim lagi.
“Tinggal dengan family. Ibu saya tak benarkan saya menyewa sebab rumah kami dah cukup besar untuk keluarga kami. Lagipun, takde sebab saya nak menyewa sedangkan rumah dan kolej tak sampai lima belas minit perjalanan.” Hanim mengangguk faham. Buat seketika, keadaan sunyi sekali lagi. Husyairi juga sudah berpusing menghadap ke laut.
“Err… Hanim, awak memang dari kecil ke macam ni? Err… maksud saya, comel macam ni?” soal Husyairi pula. Hanim tersengih dan mengangguk.
“Memang dari sekolah rendah aku dah tergolong dari golongan gemuk…”
“Oh, begitu. Kalau macam tu, mesti kegemukan awak bukan dari faktor pemakanan tapi dari keturunan. Betul tak tekaan saya?” Mendengar sahaja perkataan keturunan, Hanim menggaru-garu dahinya yang tidak gatal diiringi satu senyum tipis.
“Entahlah. Aku pun tak pasti!” balas Hanim selamba. Husyairi mengerut dahi kerana pelik.
“Entah? Tak pasti? Apa maksud awak?” soal Husyairi lagi. Hanim mengeluh. Laut yang beralun di hadapannya diperhati dengan hati yang tenang walaupun keadaan alam yang malap mengganggu pemandangannya.
“Aku dibesarkan di rumah anak yatim,” jawab Hanim perlahan. Husyairi tersentak. Tidak disangka Hanim yang suka bergurau dan ramah dengan senyuman hidup sebatang kara begitu.
“Jadi, Hanim anak yatim lah? Maaf, kalau saya menyinggung perasaan Hanim. Saya tak pernah tahu hal ni,” ucap Husyairi serba salah.
“It’s okey. Benda dah jadi, kita sebagai manusia tak boleh melawan takdir. Cuma aku tak pasti samada aku ni anak yatim atau tak sebab status aku lebih pada anak pungut. Orang jumpa aku kat tepi longkang lepas tu aku dibawa ke rumah anak yatim. Tak pastilah cerita tu betul atau tak sebab aku baru usia seminggu masa tu.”
“Takkan takde petunjuk langsung untuk cari parents awak?” soal Husyairi lagi. Rasa ingin tahunya membuak-buak.
“Setahu aku takde. Umi yang jaga kitorang kat rumah anak yatim tu cakap, aku hanya dijumpai hanya berbalut kain batik. Tarikh lahir aku pun hospital yang tentukan,” ujar Hanim perlahan dan tenang.
“Mhm… siapa lagi yang tahu pasal ni?”
“Housemate aku semua tahu. Aku tak suka selindung benda yang benar. Cuma Iqbal je yang tak tahu. Takde sebab untuk aku sebarkan perkara ni. Aku cerita kat kau pun sebab kau tanya,” kata Hanim lagi. Riaknya langsung tidak menunjukkan keresahan hanya ketenangan mengelilingi gadis berkulit hitam manis itu.
“Awak tak pernah terfikir nak cari keluarga kandung awak?”
“Hus, aku dibuang tanpa sebarang tanda. Itu dah cukup untuk memberitahu aku yang keluarga aku tak terima aku. Jadi, buat apa kita nak kejar bayang-bayang yang kita sendiri tak nampak? Buang masa je. Lagipun, aku yakin. Kalau Tuhan nak temukan aku dengan keluarga aku, Dia sendiri akan lakukan.”
“Tapi kalau tak usaha pun susah jugak,” ujar Husyairi lagi. Hanim tersengih dan menggeleng.
“Lebih baik aku berusaha untuk menjadi pelukis komik yang berjaya daripada berusaha sesuatu yang aku tak tahu. Dahlah, dah banyak sangat aku cerita hal aku kat kau. Apakata, sekarang kau cerita kat aku pasal kau dan Maria. Manalah tahu kalau-kalau aku boleh tolong? Kau ingat aku tak tahu kau ada masalah dengan dia?” serkap Hanim.
“Maria? Mhm…” keluh Husyairi perlahan. Mukanya berubah masam. Hanim mengerut dahi.
“Hus, kenapa? Salah ke aku tanya? Kalau kau rasa tak boleh jawab, tak payahlah jawab…” ujar Hanim selamba. Husyairi menggeleng perlahan.
“Tak, awak tak salah cuma saya taknak bebankan orang lain dalam masalah saya. Memang hubungan saya dengan Maria ada masalah dan tak pasti masih ada atau tak jalan penyelesaiannya.” Husyairi tunduk setelah meraut muka. Dia kelihatan begitu tertekan. Hanim menggeleng perlahan. Tubuhnya dipusing betul-betul menghadap Husyairi.
“Hus, dalam dunia ni, takde masalah yang tak boleh diselesaikan. Sekurang-kurangnya mesti ada satu jalan untuk menyelesaikannya,” ujar Hanim lagi.
“Saya tak nafikan perkara tu, Hanim. Baiklah, saya akan cerita kat awak.” Husyairi berpusing menghadap Hanim. Hanim menopang dagu dan bersedia untuk mendengar masalah pemuda di hadapannya itu.
“Saya tak tahu dari mana nak mula. Mhm…sebenarnya, hubungan kami ditentukan oleh keluarga. Kalau awak nak tahu, Maria tu seorang yang kuat cemburu dan terlalu manja. Bagi dia, apa yang dia nak, dia akan sedaya upaya untuk mendapatkannya dan begitu juga dengan saya. Saya tak nafikan, dia seorang yang cantik dan sesiapa yang terpandang dia akan meminatinya. Dan kerana kecantikan itulah yang membuat saya terperangkap. Kami bercinta dan saya mengaku manja dan cemburu itulah yang membahagiakan saya. Tapi lama-kelamaan, cemburu dia menjadi-jadi. Sampaikan member study group saya pun pernah diberi amaran agar tidak rapat dengan saya. Saya rimas dengan cemburu buta dia. Saya tahu mungkin sekarang ada seseorang sedang memerhatikan kita sebab terlalu cemburu, dia sanggup mengupah pengintip untuk mengintip setiap kerja dan ke mana saya pergi!” cerita Husyairi sayu. Hanim tersentak lantas menegakkan tubuhnya. Matanya meliar memandang sekeliling. Tiada sesiapa melainkan mereka berempat di kawasan itu.
“Err… rumit juga masalah kau ni. Aku ingat dalam tv je ada perkara macam ni. Rupa-rupanya kat luar pun ada? Emm… aku harap, kau sabar je lah Hus. Aku yakin, dia cemburu sebab terlalu sayangkan kau.” Husyairi tiba-tiba tersenyum sinis dan menggelengkan kepala.
“Sayang? Betul ke dia sayangkan saya? Kalau dia betul-betul sayangkan saya, dia takkan keluar dengan lelaki lain belakang saya. Ini amat tak adil bagi saya. Saya tak boleh bercakap dengan perempuan, sedangkan dia seronok keluar dengan lelaki lain. Sayang ke tu?” soal Husyairi kesal. Hanim mengerut dahi. Kepalanya yang tidak gatal digaru sekejap.
“Sabarlah, Hus. Hanya itu yang aku boleh cakap. Aku bukan taknak tolong kau tapi ini soal hati dan perasaan. Aku sendiri tak pernah buat pakwe aku macam tu dan juga tak pernah diperlakukan sebegitu. Sabar, okey?” kata Hanim lembut dengan senyum tipis.
“Awak ada pakwe?” soal Husyairi pelik. Hanim tidak pernah menyebut tentang kekasihnya sebelum ini. Hanim tersengih.
“Kenapa? Tak percaya?” Hanim ketawa kecil dan Husyairi semakin pelik.
“Ya, dulu aku ada pakwe tapi terputus di tengah jalan sebab masa tu aku sekolah lagi. Kami putus pun suka sama suka sebab nak tumpu pada pelajaran. Tapi kau nak tahu, aku masih sayangkan dia sampai sekarang cuma aku tak tahu dia ada kat mana dan sedang buat apa sekarang. Aku juga yakin, kalau jodoh kami kuat, Tuhan pasti temukan kami kembali.” Hanim tersenyum manis. Wajah Mahadi bermain-main di matanya. Husyairi tersenyum kecil.
“Dari wajah awak, saya dah boleh nampak sayang awak pada dia. Err… badan dia macam awak ke?” tanya Husyairi berhati-hati agar tidak menyinggung hati kecil gadis itu.
“Badan dia, tinggi dia, warna kulit semuanya macam kau. Sebab tu, masa pertama kali kita jumpa dulu, aku asyik tersenyum sebab teringatkan dia. Tapi dia taklah sekacak kau. Dia tak tampan tapi dia manis. Kalau dia senyum, makin manis aku tengok dia,” cerita Hanim masih dengan senyuman khayalnya.
“Biasalah tu. Kalau hati dah cinta, seburuk mana pun fizikal seseorang tu, dia tetap nampak cantik. Dan saya percaya, kecantikan tu datangnya dari dalam. Macam sekarang, saya tak pernah fikir awak ni badan besar ataupun tak cantik sebab setiap kali kita jumpa, awak tak pernah tunjuk kelemahan yang ada pada awak. Pada pendapat saya, awak ni jenis periang dan saya takkan mampu fikir awak seorang yang bermasalah dengan sikap awak sekarang ni.” Hanim tersengih mendengar pendapat Husyairi itu.
“Dahlah, jangan terlalu memuji takut nanti kau salah tafsir. Hus,kalau kau nak tahu, aku sendiri tak pasti apa karakter yang ada pada aku. Yang aku tahu, aku sekarang memang gembira dengan kawan-kawan dan sesiapa saja yang rapat dengan aku. Tapi, aku ni manusia biasa. Kadang-kadang tu ada masalah jugak cuma aku selesaikan sendiri.” Husyairi tersenyum mendengar kata-kata yang penuh dengan keyakinan itu.
“Eh, sedar tak sedar dah pukul 11.00 rupanya? Diorang ni tak tahu nak balik ke?” soal Hanim sambil mencari pasangan Laila dan Iqbal. Matanya tertancap pada dua susuk tubuh yang sedang duduk di bawah pokok kelapa. Hanim menggelengkan kepala.
“Kau tengoklah tu, Hus. Siang tadi gaduh bagai nak rak. Bila dah jumpa macam belangkas. Tak faham aku dengan diorang ni!” ujar Hanim dengan dengus perlahan.
“Biarlah diorang nak buat apa pun. Janji jangan buat benda tak elok dah lah. Kenapa? Awak dah ngantuk ke?” tanya Husyairi tenang.
“Bukan mengantuk, cuma letih sikit. Tadi aku ada pembentangan projek lukisan. Sibuk sangat sampai nak rehat pun takde masa. Balik tengahari pulak, jumpa dengan si Iqbal tu. Sampai rumah dah nak dekat maghrib. Lepas Isyak, Ila ajak keluar makan. Tu yang letih tu!” keluh Hanim sambil bercerita jadualnya yang padat hari itu.
“Aik, jumpa Iqbal dari tengahari sampai maghrib? Lamanya?” soal Husyairi pelik.
“Kitorang bukan jumpa dekat sini. Dia suruh aku turun Seremban. Nak taknak, sebab nak tolong kawan punya pasal, aku turunlah jugak!” jelas Hanim selamba.
“Oh, patutlah Iqbal muncul depan rumah saya petang tadi. Rupa-rupanya baru lepas dating dengan awak?” usik Husyairi dengan senyum nakal.
“Tolong sikit! Jumpa tu meeting bukan dating!” tegas Hanim. Husyairi ketawa kecil.
“Kalau awak nak balik dulu, saya boleh hantarkan. Lagipun kita kan naik motor masing-masing.” Husyairi kembali tenang setelah tawanya reda. Hanim senyap sambil berfikir. Akhirnya, dia mengangguk dengan senyuman. Mereka berdua beredar menuju ke arah Laila dan Iqbal.
“Iqbal, kitorang balik dululah. Hanim kata dia letih,” beritahu Husyairi. Hanim di sisinya mengangguk.
“Yelah, Laila. Aku dah letih sangat ni. Korang jangan balik lewat sangat. Bahaya!” pesan Hanim. Setelah mendapat persetujuan pasangan itu, mereka berdua kembali ke motor Husyairi.
Husyairi memakai helmetnya begitu juga dengan Hanim. Walaubagaimanapun, Husyairi terpaksa memasang tali helmet Hanim kerana Hanim tidak tahu bagaimana untuk mengancingnya. Ketika itu juga ada satu cahaya silau menyinari mata mereka buat seketika. Hanim dan Husyairi tersentak. Mereka memandang sekeliling. Sunyi.
“Apa benda tadi tu hah?” soal Hanim pelik. Husyairi mengangkat bahu dengan wajah selamba lalu menghidupkan enjin motornya. Hanim membonceng belakang motor itu.
Sepuluh minit kemudian, mereka tiba di perhentian bas yang terletak di hadapan apartment Pantai Indah di mana tempat Hanim dan rakan-rakannya menyewa. Hanim turun lalu mengurut lututnya yang agak menggeletar dengan kelajuan Husyairi mengawal motornya di jalanan. Husyairi tersenyum dan menggeleng. Hanim memegang tiang perhentian bas itu lalu duduk di bangku batu di situ. Husyairi mematikan enjin motornya lalu segera mendapatkan Hanim.
“Awak takde apa-apa? Maaflah, tadi saya sengaja bawak laju. Saya rasa pegangan awak kat bahu saya makin lama makin longgar. Awak ngantuk ke?” soal Husyairi beriak bimbang. Rasa serba salah menguasai hatinya. Hanim mengeluh.
“Ha’ah, mengantuk sikit. Aku tak pernah rasa mengantuk macam ni. Mungkin penat sangat,” jelas Hanim perlahan. Husyairi mengangguk faham. Dia membantu membuka helmet di kepala Hanim.
“Awak betul ke okey ni? Kalau tak, saya hantarkan awak sampai atas,” tawar Husyairi ikhlas. Hanim pantas menggeleng.
“Eh, takpe-takpe! Aku boleh jalan sendiri. Kau nak balik dulu, baliklah. Ala, kalau aku tak boleh jalan pun, pakcik guard tu ada. Dia boleh tolong hantar aku sampai atas.”
“Hanim, awak ingat saya ni kejam sangat ke nak biarkan awak macam ni? Saya akan teman awak kat sini sampai awak boleh naik sendiri.” Hanim tersentak. Namun, Husyairi hanya berwajah selamba sambil membuka helmet di kepalanya pula. Hanim mengeluh perlahan. Matanya sudah letih untuk berjaga seperti selalu. Dia cuba berdiri tapi kakinya masih terasa kebas dan lemah untuk melangkah. Hanim menepuk kakinya dengan perasaan geram. Husyairi hanya menggelengkan kepala.
“Dahlah, mari saya hantar awak ke atas. Tak payahlah nak degil sangat…” ujar Husyairi lantas memapah Hanim masuk ke kawasan apartment. Setibanya mereka di pintu apartment, Husyairi pantas mengetuk pintu sebelum Hanim bersuara. Tidak sampai seminit, seorang gadis berambut lurus potongan bulat membuka pintu.
“Hoi, Hanim! Kenapa dengan kau ni?” soal Irni terkejut. Belum sempat Hanim bersuara, Husyairi menjelaskannya.
“Sebenarnya, kaki dia lemah sebab saya bawa motor laju sangat. Tak sangka pulak boleh jadi macam ni.” Irni lantas ketawa. Hanim memasamkan muka dengan jelingan tajam.
“Dahlah, masuklah papah dia! Kami tak mampu nak papah dia ni!” ujar Irni selamba dengan tawa yang bersisa. Husyairi hanya mengukir senyum tipis lalu membantu Hanim membuka sandal gadis gempal itu. Hanim tiba-tiba berasa segan apabila Husyairi membuka sandalnya. Tangan kirinya memaut pintu, manakala tangan kanannya masih di bahu Husyairi. Hanim mengutuk diri sendiri dalam hati di atas perkara itu. Husyairi memapah Hanim masuk ke apartment bujang itu. Hanim duduk di sofa di ruang tamu.
“Terima kasih, Hus. Aku ni menyusahkan kau je!” ucap Hanim perlahan. Husyairi yang berdiri di sisinya hanya mengukir senyum. Zulaikha dan Irni tersengih. Irni merenung Husyairi penuh minat.
“Takde apa yang menyusahkan. Kalau awak nak saya papah sampai bilik awak pun saya tak kisah. Bukan susah sangat pun!” balas Husyairi dengan senyum manis. Hanim tersentak.
“Hish, selisih malaikat 44!” ujar Hanim pantas. Husyairi dan Zulaikha ketawa melihat Hanim yang menggelabah. Hanya Irni yang masih tekun meneliti setiap inci wajah Husyairi.
“Okeylah, Hanim. Saya balik dulu. Kalau ada apa-apa, call lah saya. Saya rasa, as a friend tak kisah kalau kita keluar lagi. Kalau ada masalah jangan segan-segan minta tolong saya.” Husyairi mengeluarkan dompetnya lalu menghulur sekeping kad nama kepada Hanim. Hanim mengangkat kening pelik. Kad itu tetap disambut meskipun di kepalanya sarat dengan persoalan tentang kebaikan dan keramahan jejaka pendiam itu. Setelah Husyairi hilang di sebalik pintu, Zulaikha segera menutup pintu manakala Irni segera mendapatkan Hanim. Hanim sedang merenung kad yang tertulis nama MUHAMMAD FAROUK HUSYAIRI BIN ABDULLAH itu.
“Handsomenya kawan kau tu, Hanim! Cara dia cakap pun lembut. Kalau lah aku dapat pakwe macam tu…” Irni mula memasang angan. Hanim mengerut dahi.
“Kau nak ke? Nah, ambiklah!” ujar Hanim sambil menghulur kad nama tadi.
“Betul ke ni? Kau tak menyesal?” duga Irni gembira. Hanim tersengih. Zulaikha merenung Irni dengan hati yang kurang senang.
“Irni, itukan kawan Hanim. Kau jangan nak potong line pulak!” tegur Zulaikha tegas.
“Dah Hanim yang nak bagi aku kenal dengan mamat tu, apa salahnya? Lagipun, diorang kawan bukan pakwe makwe kan?” balas Irni selamba.
“Dah…dah! Nah, ambiklah kad ni. Kalau aku nak call dia, Iqbal boleh bagi aku nombor dia. Ika, biarlah Irni nak kenal dengan Husyairi. Irni kan masih single?” ujar Hanim selamba. Irni mencapai kad itu lalu dicium berkali-kali. Zulaikha mendengus perlahan.
“Kau pun masih single kan?” soal Zulaikha tegas.
“Aku lain. Takde maknanya si Hus tu nak pandang aku. He just my friend. Aku jumpa dia pun baru tiga kali. Manalah tahu, kalau-kalau dia ada jodoh pulak dengan Irni ni…” usik Hanim. Irni tersenyum malu. Zulaikha mencebik.