BAB 3
Hanim merenung sebuah potret di hadapannya. Jam sudah
menunjukkan pukul 5 pagi. Laila telah lama lena diulit mimpi. Akhirnya, potret
wajah yang sentiasa bermain di mindanya itu siap juga setelah mengambil masa
selama sebulan. Sebenarnya, sudah lama Hanim ingin melukis potret wajah itu
namun sentiasa terbengkalai dengan jadual kerja kursus dan pelajaran yang
sering menghimpit hari-harinya. Hanim mengukir senyum lalu mengucup potret
tersebut dengan satu perasaan sayang yang tidak pernah luput dari hatinya untuk
wajah itu. Potret tersebut diambil dan dimasukkan ke dalam sebuah bingkai besar
mengikut saiz kertas lukisan itu. Bingkai yang diperbuat daripada kaca kristal
itu dibeli ketika lawatan kolejnya ke pameran lukisan yang diadakan di
Singapura hujung tahun lalu. Dengan bantuan pinjaman yang diperolehi, Hanim
berjaya memperolehi 3 bingkai besar yang dibuat ala-ala kristal. Hanim
menyandarkan lukisan tadi ke dinding di atas meja belajarnya. Gambar itu
ditenung dan tanpa disedari, dia terlena.
Tepat jam 6.30 pagi, jam loceng di sisi Laila berdering.
Laila bangun dan terus menuju ke bilik air untuk membersihkan diri. Selepas
mandi, dia keluar dari bilik air dengan wuduk yang sempurna. Laila
menggelengkan kepala apabila melihat Hanim tertidur dengan kepala terlentok di
atas meja belajarnya.
“Hanim, bangun solat Subuh!” kejut Laila sambil menepuk
bahu Hanim.
Hanya dengan sekali tepuk, Hanim terus berdiri dan mencapai
tuala mandi lalu keluar dari bilik yang dikongsi bersama Laila itu. Sebaik
sahaja Laila selesai bersolat dan berzikir, Hanim masuk dan segera mencapai
telekungnya yang tersangkut di ampaian pendek di kaki katil mereka. Laila kembali
baring di atas katil ketika Hanim mengangkat takbir pertama. Tiba-tiba, matanya
tertancap pada sebuah potret yang berbingkai kristal di atas meja belajar
Hanim. Laila bangun dan merenung potret wajah seorang lelaki itu. Di bawah
potret itu tertulis nama Mahadi.
“Baik-baik pegang bingkai tu. Nanti jatuh pulak!” saran
Hanim tiba-tiba. Laila tersentak lalu memandang Hanim yang sedang melipat
telekung.
“Gambar siapa ni? Boleh tahan jugak muka dia!”
“Ex-boyfriend aku,” jawab Hanim perlahan. Dia merapati
Laila lalu duduk di sisi Laila di birai katil. Laila merenung Hanim untuk
mendapat penjelasan lanjut.
“Lepas habis SPM, kitorang bertemu kat satu majlis kahwin
kawan aku. Sehingga sekarang, cinta aku pada dia tak pernah luput. Tapi apa nak
buat, hubungan kitorang terhenti di tengah jalan hanya kerana mengejar
cita-cita masing-masing. Kitorang takut kerana cinta, cita-cita kami
terbengkalai dan musnah…” jelas Hanim perlahan.
“So, kau masih cintakan dia?”
“Sangat cinta. Malah aku sentiasa berharap yang satu hari
nanti, kitorang dipertemukan semula. Bercinta, bertunang, berkahwin dan ada anak.”
Laila mengerut dahi melihat sikap Hanim yang kelihatan lembut dan lebih
berharap. Semenjak perkenalannya dengan Hanim, tidak pernah Hanim tunjukkan
sikap lembut dan romantiknya itu.
“Macam tak percaya je yang aku ni sedang bercakap dengan
Nur Farah Hanim! Romantik jugak kau ni kan?” usik Laila dengan senyum nakal.
Hanim hanya tersengih sambil merenung potret di hadapannya itu.
“Eh, lupa aku nak cakap. Husyairi kirim salam. Dia pesan,
kalau kau ada masalah jangan segan-segan telefon dia. Dia ada bagi kau kad nama
dia kan?” Hanim mengerut dahi.
“Dia cakap macam tu kat kau? Apa pasal dia tu baik sangat?
Kalau kau nak tahu, semalam dia pecut motor macam nak terbang aku rasa. Alasan
dia taknak bagi aku tidur. Lepas tu, kaki aku pulak tak boleh nak jalan. Menggigil
je, nak jalan pun lemah. Dia lah hantar aku sampai ke atas,” cerita Hanim
selamba. Laila tersengih nakal.
“Entah-entah dia minat kat kau tak? Iqbal kata dia tu
memang baik hati. Masa sekolah dulu, kalau kawan-kawan dia ada masalah duit ke
atau apa-apa masalah, dia sedaya upaya membantu. So, tak hairan lah dia baik
macam tu. Whatever pun, kau simpan je lah kad nama dia tu. Manalah tahu,
kalau-kalau masa cuti kau boring duduk rumah seorang, boleh ajak dia keluar.”
“Kad tu aku dah bagi pada Irni…” ujar Hanim selamba.
“What? Kenapa kau bagi kat dia? Husyairi bagi kat kau sebab
dia nak jadi kawan rapat kau. Sampai hati kau bagi kad tu pada Irni?” marah
Laila. Hanim meletakkan kembali potret di tangannya di atas meja. Kemudian, dia
kembali baring di atas katil.
“Laila, Irni minat kat Hus. So, manalah tahu kalau-kalau
diorang tu ada jodoh. Lagipun, dia bagi kad tu betul-betul depan Ika dan Irni.
Takkan aku nak kedekut pulak bila Irni minta kad tu?” balas Hanim selamba.
Laila menutup lampu bilik mereka lalu baring semula di sebelah Hanim.
“Kalau Husyairi tahu, mesti dia tak suka. Kau bukan tak
kenal Irni tu macamana? Kalau boleh, Iqbal tu pun pernah nak digodanya. Sebab
tu aku tak suka kau bagi kad tu pada dia. Husyairi tu dah ada Maria. Kalau
apa-apa jadi kat hubungan mereka, siapa nak bertanggungjawab?” soal Laila masih
tidak berpuas hati.
“Kalau dia betul-betul setia pada Maria, walau seribu
bidadari datang pada dia pun, dia tetap setia.” Laila mendengus apabila
mendengar jawapan selamba itu. Hanim tidak ambil pusing. Matanya kembali
mengantuk.
BAB 4
Hanim masuk ke kelasnya yang kebanyakkannya dihuni oleh
kaum lelaki. Hanya terdapat lima orang sahaja pelajar perempuan. Hanim duduk di
sebelah Iman, seorang pelajar yang lebih tua dua tahun darinya. Iman sedang
khusyuk melukis kartun animasi yang diminatinya iaitu Bleach.
“Lambat kau datang hari ni?” soal Iman tenang tanpa
memandang Hanim.
“Takdelah lambat sangat. Lecturer pun tak masuk lagi. Wow,
Bleach!” Hanim terpegun melihat lukisan animasi itu benar-benar nampak seperti
kartun yang sebenar. Iman hanya tersengih.
“Kau dah siap sample yang Encik Emir nak tu?” tanya Iman
pula. Wajah tenang Hanim di sisinya.
“Dah siap dah. Kau punya macamana?”
“Dah hantar dah pun. Aku malas lah nak pass up dalam kelas.
Nanti ada je yang dia komen nak buat malu kita. Buat orang tension je nanti!”
jawab Iman selamba.
“Yeke? Lain kali, kalau nak hantar tu tunggulah aku. Kita
hantar sama. Aku pun tak suka kena komen dalam kelas. Malu la…” rungut Hanim.
“Aku ingat kau tak siap lagi. Nantilah, lain kali aku
tunggu kau. Petang ni free tak? Aku ada dua tiket pergi pameran lukisan kat HBR.
So, aku tak tahu nak ajak siapa. Oleh kerana hanya kau sorang je yang masih
single dalam kelas ni, aku plan nak ajak kau. Nak ikut tak?” tanya Iman lagi.
Iman bukanlah kawan rapat Hanim tapi sekiranya ada majlis sebegitu, Hanimlah
orang pertama yang akan dipelawa. Iman tahu latarbelakang hidup Hanim dan dia
berasa begitu simpati dengan kehidupan gadis gempal itu namun simpatinya tidak
pernah ditonjolkan memandangkan Iman seorang yang lebih suka berdiam diri dari
menyatakan apa yang dirasainya.
“Hish, mestilah nak! Kau kan tahu, aku suka pergi
tempat-tempat macam tu. Pukul berapa?”
“Pukul 2. Kau tunggu aku kat depan bangunan admin nanti.”
Hanim mengangguk faham.
Tepat pukul 2 petang, Hanim sudah tiba di hadapan bangunan
pentadbiran seperti yang dijanjikan. Tidak sampai lima minit, sebuah Proton Gen
2 berhenti di hadapannya. Hanim lalu masuk ke dalam kereta itu apabila
menyedari pemandunya adalah Iman.
“Bila kau tukar kereta?” soal Hanim apabila kereta berwarna
hitam itu meluncur keluar dari kolejnya.
“Ni kereta kakak aku. Kereta aku masuk bengkel, accident
minggu lepas,” jelas Iman tenang.
“Accident? Kau takde apa-apa ke? Macamana boleh accident?”
soal Hanim bertalu-talu.
“Aku nak cepat masa tu. Tak perasan ada van kat sebelah.
So, masa tu lah aku terlanggar van tu…” cerita Iman selamba. Matanya tidak
beralih dari pemanduannya.
“Tu lah, kau. Aku pun dah pernah advise kau jangan bawa
kereta laju-laju. Degil betul! Habis tu, kereta kau teruklah? Kau tak cedera?”
soal Hanim lagi.
“Hish, cedera! Hilang ingatan aku tiga hari!” balas Iman
berseloroh lalu ketawa lucu dengan kata-katanya sendiri. Hanim menarik muka
masam.
“Kau ni kalau aku serius, suka reka cerita yang tak masuk
akal langsung! Aku serius ni…” tegas Hanim geram. Iman mengawal tawanya yang
hampir reda.
“Aku gurau je. Aku okey cuma perut ni je senak sikit sebab
masa tu aku mengelak badan ke tepi. Perut kena gear. Kereta aku tak payah
tanyalah. Entah-entah seribu lebih kena. Nasib baik ada insuran.”
“So, dah pergi check doktor? Bahayalah kalau sakit-sakit
sebab accident ni.”
“Takde maknanya. Aku dah elok pun sekarang. Masa mula-mula
tu memang la sakit. Tapi sekarang dah okey dah. Aku tahu kau risau. Sayang
jugak kau kat aku kan?” usik Iman lagi. Hanim mengangkat kening.
“Aku sayang semua kawan-kawan aku. Bukan kau sorang je…”
balas Hanim selamba. Iman ketawa kecil.
Lebih kurang lima belas minit kemudian, mereka tiba di
tempat parking kereta Hotel Beach Resort. Hanim keluar dari kereta
berhawadingin itu. Angin bertiup agak kencang. Hanim berasa senang apabila
angin menampar-nampar mukanya. Hanim tersenyum apabila fikirannya tiba-tiba
teringatkan Mahadi. Alangkah indahnya jika Mahadi berada di situ. Tentu dia
sedang berasa bahagia di dalam dakapan pemuda berkulit sawo matang itu.
“Hai, sayang. Apahal senyum sorang-sorang ni? Kau
teringatkan siapa?” soal Iman yang sudah berdiri di sisi Hanim.
“Teringatkan pakwe aku…” jawab Hanim selamba lalu beredar.
Iman mengejarnya dengan penuh tanda tanya. Hanim tidak pernah menyebut tentang
kekasih.
“Pakwe? Kau dah ada pakwe?” soal Iman lagi ingin tahu.
“Ha’ah, kenapa? Tak percaya?” soal Hanim kembali. Iman
terus senyap. Mereka terus masuk ke lobi hotel ternama itu.
Setibanya di tempat pameran yang disebut, Hanim terus
menuju ke pameran yang dipenuhi pelbagai bentuk corak batik. Iman hanya
mengekorinya. Iman dapat merasakan suatu kelainan yang dirasa apabila Hanim
menyebut tentang kekasih gadis itu. Namun rasa itu dipendam agar tidak jelas
kelihatan.
“Cantiknya…” puji Hanim ketika melihat satu corak yang agak
berseni. Corak itu ditenung penuh minat.
“Kau minat ke? Kalau minat, belilah!” saran Iman.
“Boleh beli ke? Tapi mesti mahal. Corak dia penuh dengan
pelbagai perasaan. Cuba kau tengok betul-betul. Kalau kau tenung lama-lama,
mesti kau dapat rasa satu perasaan sedih. Tapi kalau kau tenung sekali imbas,
kau mesti nampak kegembiraan dalam corak ni!” ujar Hanim cuba menyelami mesej
yang ingin disampaikan oleh pelukis berseni itu. Iman tersenyum melihat
keyakinan Hanim bersuara.
“Cik minat ke dengan lukisan ni? Pelukisnya ada di sana!”
tegur satu suara garau. Hanim tersenyum lalu menoleh ke arah sebuah susuk tubuh
yang ditunjukkan oleh pemuda berkemeja putih tadi.
“Cantiknya dia…” puji Hanim. Iman menggelengkan kepala.
“Kau ni dari tadi asyik memuji. Aku tengok dia biasa je,”
kata Iman selamba sambil memandang sekilas susuk tubuh yang mengenakan kebaya
hijau pucuk pisang itu. tiba-tiba senyuman Hanim mati apabila ada tubuh lain
merangkul tubuh kurus itu. wajah yang dimiliki oleh pemuda itu amat
dikenalinya. Tanpa mengendahkan keadaan sekeliling, airmatanya tumpah.
“Hanim, kenapa ni? Kenapa menangis?” soal Iman kaget. Hanim
menggeleng sambil mengesat airmatanya.
“Encik, siapa lelaki di sebelah pelukis tu?” tanya Hanim
pada pemuda berkemeja putih tadi tanpa menghiraukan soalan Iman.
“Oh, itu Encik Mahadi. Tunang Cik Arina. Kenapa cik?” soal
pemuda itu kembali. Hanim hanya menggeleng dan tersenyum pahit. Hanim terus
menuju ke lukisan yang agak hampir dengan pasangan itu. Iman mengerut dahi
sambil mengikut sahaja rentak Hanim. Hakikatnya, Iman tidak berapa minat dengan
pameran lukisan sebegitu. Namun, demi menghargai pemberian kakaknya yang telah
menyediakan tiket untuknya, dia hanya menurut.
Mahadi tersentak apabila matanya bertembung dengan mata
Hanim. Hatinya dilanda rasa serba salah. Hanim menelan liur dengan hati yang
hancur luluh. Dia tunduk apabila airmatanya bergenang lagi.
“Err… Iman, aku nak pergi toilet lah. Kat mana eh?” tanya
Hanim perlahan.
“Kau jalan terus, belok kanan. Nak aku teman?”
“Takpe, aku pergi sendiri.” Hanim lantas meninggalkan Iman
yang penuh dengan tanda tanya. Ketika itu juga, Iman nampak Mahadi turut menuju
ke arah tandas. Mahadi segera memintas jalan Hanim apabila gadis itu sudah
membelok ke arah menuju ke tandas.
“Hai, lama tak jumpa?” tegur Mahadi lembut. Hanim mengesat
airmatanya dan pura-pura tersenyum.
“Hai, ha’ah dah lama tak jumpa. Dah lebih empat tahun
rasanya. Abang pun dah bertunang kan?” balas Hanim dengan senyum tipis.
Bibirnya bergetar menahan sebak di dada.
“Hanim, maafkan abang sebab mungkir janji. Handphone abang
hilang dan nombor telefon Hanim turut hilang. Pasal pertunangan tu, keluarga
abang yang aturkan. Maafkan abang ye…” ujar Mahadi dengan rasa serba salah.
Tangan Hanim ingin dipegang namun Hanim mengelak.
“Takde sebab untuk abang pegang Hanim yang gemuk ni lagi.
Maafkan Hanim sebab… sebab terlalu yakin yang hubungan kita akan kembali
seperti dulu.” Hanim mengetap bibir apabila melafazkan kata-kata itu.
“Hanim, jangan sebut pasal badan. Abang tak pernah berniat
macam tu. Mungkin takde jodoh antara kita. Abang tak pernah lupakan Hanim.
Abang pernah cuba cari Hanim, tapi tak pernah berjaya. Maafkan abang. Kita
tetap masih boleh berkawan kan?” kata Mahadi lembut. Meskipun cintanya sudah
beralih pada Arina, namun sayangnya pada Hanim masih kukuh dan tidak pernah
pudar. Hanim mengeluh.
“Dahlah, bang. Tak perlu minta maaf. Dah takdir. Hanim
terima abang bukan sebagai kawan tapi mungkin sebagai abang Hanim. Itupun kalau
abang sudi jadi abang Hanim yang tidak tahu asal usul ni…”
“Hanim, jangan cakap macam tu sayang. Abang masih sayangkan
Hanim. Abang tak kisah siapa diri Hanim. Dan abang yakin, seandainya jodoh kita
masih ada, kita pasti bersatu semula. Percayalah sayang, abang lakukan semua ni
hanya kerana papa abang. Papa abang mengaturkan pertunangan abang dengan Arina
tanpa pengetahuan abang. Walaupun sekarang cinta abang dah beralih arah, sayang
abang pada Hanim tak pernah luntur. Percayalah.” Mahadi sedaya upaya untuk
meyakinkan Hanim tentang cintanya. Hanim tunduk menahan sebak dan terharu.
Hatinya semakin remuk apabila mendengar tiada lagi rasa cinta di hati Mahadi
untuknya.
“Abang, Hanim pergi dulu. Hanim doakan abang bahagia dengan
bakal isteri abang. Jagalah hati dia. Dia terlalu baik dan cantik untuk
dilukai. Assalamualaikum…” ujar Hanim lalu masuk ke dalam tandas yang tidak
jauh dari situ. Mahadi semakin berasa bersalah dengan kata-kata terakhir itu. Maafkan abang, Hanim. Abang tahu Hanim
terluka dengan abang. Percayalah, abang masih sayangkan Hanim.
Di dalam tandas, Hanim menangis semahu-mahunya. Hatinya
terasa seperti dihiris-hiris. Harapannya untuk hidup bersama Mahadi runtuh
begitu sahaja. Ketika itu, Hanim tersedar dari kelekaannya selama ini. Hanim
berasa sedih dengan tubuh badannya yang tidak pernah berubah itu walaupun
setelah mencuba banyak cara untuk memperbaikinya. Hanim membasuh muka apabila
perasaannya mulai tenang. Dia tidak mahu Iman mengetahui kelukaan yang masih
berdarah di hatinya sekarang. Setelah yakin dengan keceriaannya, Hanim keluar
dari tandas dan kelihatan Iman sedang menunggu di hadapan tandas perempuan itu.
“Lama tunggu?” tanya Hanim dengan pura-pura senyum. Iman
merenung Hanim dengan tenungan tajam.
“Hei, kenapa pandang aku macam nak telan ni? Kau tak nak
tengok pameran ke?” soal Hanim lagi. Hatinya kuat menyatakan Iman telah melihat
segala-galanya berdasarkan reaksi pemuda itu.
“Apa yang dah jadi, Hanim? Siapa lelaki tadi?” soal Iman
serius. Hanim tersenyum pahit.
“Takde siapa. Dia saudara aku je…” Iman tersenyum sinis.
“Saudara? Sejak bila kau ada saudara?” soal Iman sinis.
Hanim terpukul dengan kata-kata itu.
“Ha’ah, lupa pulak yang aku ni anak pungut. Takde saudara.
Dia saudara angkat aku…” ujar Hanim perlahan lalu beredar. Iman mengekori
Hanim.
“It’s not what I mean, Hanim. Aku tahu ada sesuatu yang kau
sorokkan dari aku. Cakaplah…” kata Iman masih serius.
“Takde apa. Err… Iman, sorrylah. Aku rasa nak balik dulu,”
ujar Hanim pura-pura tenang. Iman mendengus perlahan.
“Hanim, kau tak boleh balik. Kau tahu tak tiket yang aku
beli ni mahal? Aku nak kau tunggu sampai pameran ni tamat!” tegas Iman.
“Tapi, Iman…” Iman tidak mengendahkan Hanim yang ingin
memberi alasan. Dia kembali masuk ke dalam bilik pameran tadi. Hanim mengeluh.
Rasa bersalah akan menyelubunginya jika terus pulang ke rumah. Akhirnya, Hanim
turut kembali masuk ke bilik pameran juga. Dia mencari kelibat Iman. Kelihatan
Iman sedang elok berbual dengan pelukis popular Arina. Hanim menelan liur
apabila matanya sekali lagi bertembung dengan mata bundar Mahadi. Kelihatan
Mahadi turut merenungnya dengan pandangan mata yang tajam. Hanim terkedu
apabila Iman tiba-tiba datang ke arahnya dengan senyuman lalu menarik tangannya
menuju ke arah Arina. Hanim mengerut dahi apabila Iman masih menggenggam
tangannya. Mahadi merenung tajam ke arah genggaman erat itu.
“Cik Arina, kenalkan ini Farah Hanim. Dia amat meminati
lukisan Cik Arina yang bertajuk perasaan tu. Hanim ni seorang pelukis potret
terbaik dalam kelas kami,” kata Iman dengan senyum bangga.
“Really, kalau macam tu, bolehlah lukiskan potret I dengan
tunang I nanti. Boleh kan?” pinta Arina lalu memeluk lengan Mahadi. Hanim dan
Mahadi sama-sama tersentak. Hanim mengetap bibir menahan sebak. Dengan mata
berkaca nipis, Hanim mengangguk perlahan. Senyum pahit menghias bibirnya.
Mahadi mengerut dahi dengan persetujuan itu. Dia tahu Hanim terluka tetapi
Mahadi tidak yakin Hanim akan terubat dengan pujukannya. Malah, mungkin akan
melukakan lagi gadis itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan